Apa yang pasti, setiap aspek yang dilakukan oleh BN sejak lebih 50 tahun lalu bukanlah satu sandiwara seperti mana yang selalu diperbesarkan oleh pihak pembangkang.
Dalam bercakap mengenai kerajaan dan pentadbiran BN, fikirlah dari akal yang waras dan logik fikiran tanpa dipengaruhi oleh mana-mana parti politik pun yang wujud dalam negara ini.
Nilailah sendiri, apa yang berlaku kepada rakyat dan tanah air sejak sebelum kemerdekaan hinggalah kepada perjuangannya yang membawa kepada nikmat untuk sama-sama dirasai hari ini.
Paling mudah, lihat sahaja kemudahan dan prasarana yang disediakan oleh Kerajaan BN yang ditunjangi UMNO. Bukan sahaja kemudahan pendidikan dari peringkat pra sekolah hinggalah ke menara gading sama ada di dalam atau diluar negara tetapi juga; kemudahan kesihatan yang bertaraf negara maju dapat diwujudkan di samping jaminan keselamatan untuk bersosial walaupun dilingkari kehidupan pelbagai bangsa, berbeza budaya dan agama serta bercanggah idealogi.
Dalam hal ini, tanggungjawab dan amanah yang tergalas di bahu BN tidak pernah gagal dimanifestasikan malahan BN tidak gentar berdepan dengan segala macam realiti biarpun selalunya setiap kelemahan akan dimanipulasikan oleh pihak pembangkang.
Tidak kiralah parti mana sekalipun; yakni PAS, DAP dan PKR sendiri tidak pernah mahu menghargai sumbangan Kerajaan iaitu BN sekalipun turut menerima limpahan nikmat yang sama dengan rakyat lain.
Kebertanggungjawaban BN sesungguhnya pernah diakui sendiri oleh oleh PAS yang selama ini banyak menimbulkan fitnah, provokasi dan manipulasi terhadap UMNO/BN.
Buktinya, kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat ke-50 lalu melihat bahawa ada kebaikan dalam kerajaan sekarang ini sesungguhnya mengakui realiti sebenar apa yang berlaku dalam negara.
Lantaran itu, tidak hairanlah sekiranya para pemimpin tertinggi dalam parti pembangkang tersebut meminta pemimpin dan ahli PAS melihat kekuatan serta kejayaan UMNO/BN khususnya kekuatan kerajaan sekarang menguruskan ekonomi dan polisi.
Namun demikian, lantaran kedudukan mereka sebagai pembangkang, PAS enggan mengakuinya secara terbuka sebaliknya hanya berani menyuarakan di dalam persidangan mereka sendiri dengan khalayak yang juga hanya di kalangan mereka tanpa berani berdepan dengan realiti.
Mungkin juga para pembangkang malu untuk menerima hakikat atas apa yang berlaku dalam negara apatah lagi mereka adalah antara parti pembangkang utama yang banyak menyelar langkah kerajaan selain memanipulasikan setiap apa yang diwujudkan oleh UMNO/BN sendiri.
Apa yang pasti, BN tidak pernah mengambil endah setiap tuduhan liar termasuk provokasi dan retorik politik para pembangkang kerana sedar bahawa amanah rakyat lebih besar khususnya dalam hal kebajikan, keselamatan dan kesinambungan kesejahteraan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan