Kota Bharu -- Pemuda UMNO amat kesal dengan tindakan Pas menggunakan mimbar Jumaat untuk kempen pilihanraya kecil Manik Urai Julai ini kerana ianya seolah-olah menyalahgunakan tempat beribadat demi kepentingan mereka.
Pengerusi Biro Agamanya, Ustaz Hj Mohd Afandi Yusof berkata perkara itu tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia boleh mencemarkan imej, kemuliaan dan kesucian agama Islam itu sendiri.
Tegas beliau masjid bukanlah tempat untuk ahli-ahli politik beradu kekuatan, medan untuk memaki hamun serta tempat untuk bertempur bagi berebut kuasa dan kedudukan sesama umat Islam.
"Kita amat kesal dengan apa yang di Masjid Mukim Sungai Peria, Kuala Krai dalam sesi khutbah Jumaat minggu lepas yang disampaikan oleh ‘Ustaz Budak’.
"Penggunaan bahasa kesat dan tidak senonoh seperti ‘wa, wa, wa nunnn… bulan’, ‘mapus muu… tong sampah, binatang’ seolah-olah ceramah umum biasa dan menghina para jemaah yang tidak mengikut kepimpinan mereka.
"Akibat khutbah yang begitu hebat menghentam kerajaan pusat dan seolah-olah ceramah umum, ada seorang jemaah yang taksub dan menyahut khutbah dengan perkataan “oooooooo”. ini khutbah Jumaat atau ceramah", soalnya.
Menurut beliau lagi, apa yang lebih mendukacitakan ialah pada sesi khutbah kedua khatib tidak membacakan doa terhadap DYMM Sultan Kelantan yang sedang gering ketika ini.
"Pada sesi itu, khatib hanya mendoakan kemenangan kepada Pakatan Rakyat dalam menghadapi Pilihanraya Kecil Manik Urai nanti.
"Justeru kita menggesa Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), JAKIM, Pihak Istana dan pihak-pihak yang berwajib, agar menyiasat kes membabitkan penyalahgunaan masjid untuk tujuan kempen pilihanraya.
"Sekiranya ia didapati benar, kita mendesak agar satu tindakan tegas diambil, demi untuk menjaga keharmonian dan kesejahteraan umat Islam, di samping ia juga sebagai pengajaran kepada parti politik seperti Pas untuk tidak mengulanginya pada masa yang akan datang", katanya.
Afandi yang juga Ketua Pemuda Rantau Panjang seterusnya mengakui masjid di zaman Rasulullah dan zaman sahabat, merupakan pusat kegiatan politik dan pentadbiran kerajaan serta pusat kegiatan ummah pada masa itu.
"Ya, kami akui perkara itu adalah benar. Tetapi politik yang dibawa oleh Rasulullah dan para sahabat adalah politik Islam, politik berasaskan iman dan taqwa kepada Allah, politik yang suci bersih daripada amalan jahiliyah, politik ke arah penyatuan dan perpaduan ummah, manakala politik yang dibawa oleh Pas jauh bezanya dengan politik Rasulullah.
"Pas menggunakan kaedah ‘Matlamat Menghalalkan Cara’, iaitu politik jahiliyah yang membelakangi sunnah, politik yang membawa perpecahan, bahkan anti perpaduan sesama Islam, politik Pas berasaskan teori Machievelli, segala perkara yang diharamkan Allah untuk dilakukan dalam masjid, dihalalkan oleh pihak Pas.
"Islam mengharamkan kutuk mengutuk, hina menghina, mengherdik, caci maki, sindir menyindir, membongkarkan rahsia dan keaiban sesama Islam, tetapi ia menjadi amalan dan budaya Jahiliyah Pas, lebih-lebih lagi ia dilakukan dalam khutbah Jumaat", ujarnya.
Bermula dengan Surat Kepada KeBawah Duli Tuanku
3 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan